chapter 4 :DUGAAN dan MASALAH

ASSALAMUA'LAIKUM

Untuk makluman semua, ni entry lepas tension sebenarnya. So beware !! GRRRRRRRRRR~

Sebelum saya senaraikan masalah-masalah yang menimpa saya, saya ingin mengucapkan alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana saya masih diberi peluang untuk terus bernafas dan  masih hidup dalam 2 nikmat kurniaan Allah; iaitu nikmat Islam dan iman :). Dalam hidup ni tak lengkap kalau tidak diserikan dengan dugaan dan masalah. Straight to the point~ Beberapa minggu ni saya menhadapi beberapa masalah dan dugaan yang memang menguji kesabaran saya. Mungkin semua ni terjadi ada hikmahnya. Allah lagi Maha Mengetahui. Antara yang ingin saya kongsikan untuk menghilangkan stressssssssssssss (=.=) :

#1. 2 minggu lepas, saya menemani rakan saya, Amira pergi membeli almari. Selepas tamat kuliah, kami terus menuju ke sebuah pusat membeli belah yang terletak di Hayyu Sabi' dan 'Abas 'Aqad. Jam telah menunjukkan pukul 4.30 petang dan kami masih belum solat asar lagi. Tambah-tambah lagi maghrib masuk pada pukul lebih kurang 5.30 petang dan memang kami tak sempat untuk solat di rumah. Puas kami mencari musolla wanita di situ tetapi tidak menemuinya. Jadi saya bertanya kepada seorang saleswoman yang berada di situ. Dia mencadangkan kami supaya solat di sebuah kedai elektrik yang agak bersih kat situ. Bayangkan kami solat depan orang lalu lalang tanpa di alas sebarang kain atau sejadah. Masa tu macam-macam perasaan ada. Usai solat, kawan saya menitiskan air mata. Saya pun tak tahu kenapa dan saya beranggapan mungkin dia sebak kerana kami solat dalam keadaan sebegitu. Jadi, intipatinya di sini, tunaikanlah solat macam mana sekalipun keadaannya kerana menjaga solat amat penting supaya kita dapat mencapai keredhaan-Nya. Memang tak boleh dilupakan pengalaman ni. (T_T)

#2. Masa nak balik rumah setelah selesai urus membeli almari, Tuhan sahaja tahu betapa susahnya nak tahan teksi. Semua teksi ada orang dan hari pun dah nak maghrib. Akhirnya, dapatlah juga naik satu teksi tanpa meter. Mula-mula saya tanya kat amu teksi tu, boleh tak kalau pergi sabi' dengan harga 10 L.E. Dia kata boleh. Kami pun apa lagi naiklah teksi tu kan. Sampai kat depan rumah, saya menghulurkan duit not 10 L.E  dan tiba-tiba amu tu cakap "laaaaaa', ihda a'syarah. fil lail al ann bla bla bla bla". Baran pula saya. Tadi kata lain sekarang kata lain pula. Mula-mula kata 10 genih tapi bila da sampai cakap 10 genih seorang. Cekik darah punya orang. Rasa macam nak cekik-cekik je amu tu tapi nasib baik hormat lagi kat dia. Dia ingin kami foreigner, senang-senang nak tipu. Penat gaduh-gaduh dengan amu tu saya pun mengalah dan terus menghulurkan not 15 L.E dan terus berlalu dengan hati yang........Tuhan je yang tahu~ (=.=)

#3. Minggu lepas pergi city star sebab nak beli dan register broadband baru sebab broadband yang kami kongsi ada masalah. Tambah pula nak pindah rumah tingkat atas kat BKAN Negeri Sembilan ni, saya fikir lebih baik beli broadband baru. Sampai rumah, terus cuba guna broadband tersebut tapi masalahnya benda alah tu tak boleh nak guna. Saya sabar lagi dan tunggu keesokan harinya tetapi masih tetap sama. Disebabkan agak sibuk sikit minggu ni, tak sempat nak pergi ke center vodafone walaupun dekat je dengan rumah. Sabar lagiiiiiiiiii~~

#4. Nak dijadikan cerita, petang semalam balik dari kuliah, saya singgah di center vodafone yang terletak di Sabi'. Orang tu cakap sim broadband saya rosak dan perlukan resit untuk menukar yang baru. Saya pun dapatkanlah resit berkenaan dan pergi semula ke center berkenaan. Apa yang saya dapat? "Sorry, please come tomorrow because we don't have that sim now". Sabar wawa~ sabar wawa~ sabar wawa~~. Saya pun datanglah semula ke center berkenaan untuk menguruskan semula broadband tersebut. Apa yang saya dapat? "Sorry, your sim had damaged and now we don't have that sim now. So, please come back after 3 days". what?????? S.A.B.A.R je lah. Lalu saya mengambil keputusan untuk mengajak rakan saya, Syude untuk pergi ke city star semula untuk menguruskan masalah broadband tersebut. Dalam perjalanan nak ke sana dengan menaiki teksi, kami terperangkap dengan kesesakan lalu lintas pula. Meter teksi tu sedap je naik bergenih-genih sampai kena bayar 14 L.E. Sabar lagi. Dugaan betul tapi alhamdulillah Allah mudahkan juga urusan. Broadband saya sudah boleh digunakan dan boleh tahan lajunya (hohoho :p)

#5. Ni yang paling tragik kut, saya lupa bila kejadian ni berlaku. Awal bulan ni rasanya. Saya temankan rakan-rakan saya keluarkan duit di HSBC yang terletak di 'Abas 'Aqad. Selepas iti, kami singgah di Genena Mall untuk solat Asar dan makan. Kami pun menuju ke sebuah restoran makanan segera setelah selesai menunaikan solat. Saya tak perasan, saya tak masukkan dompet saya dalam beg dan saya hanya letakkan di atas dulang. Selesai makan, kami pun balik dan dompet saya tertinggal di atas dulang tersebut. Sanggup kami patah balik untuk mendapatkan dompet berkenaan. Tetapi apa yang sedihnya, bila tanya kat jurujual di situ, mereka tidak menjumpainya. Masa tu jugalah saya lupa perkataan dompet dalam bahasa Arab. Penat saya jelaskan kat orang tersebut. Bercampur-campur bahasa Inggeris dengan bahasa Arab. Akhirnya, tak jumpa juga dompet tu. Nasib baik dompet tersebut hanya mengandungi wang dan gambar sahaja. Masa tu saya cuba mengpositifkan diri saya bahawa 120 L.E tu bukan rezeki saya dan mungkin juga saya akan menggunakan wang tersebut ke jalan yang tak betul. Mungkin ada hikmahnya kehilangan dompet tersebut dan juga peringatan kepada saya supaya jangan jadi cuai lagi selepas ni.

Haaaa, itulah antara dugaan dan masalah yang saya hadapi sepanjang sebulan setengah di sini. Lepas sikit tekanan. Tapi tak mengapa, mungkin semua ini berlaku ada hikmah yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Kadang-kadang pengalaman sebegini dapat mendewasakan diri kita dan lebih berhati-hati selepas ini. Dan yang paling penting sekali, perkara-perkara yang berlaku ini melatih saya supaya lebih bersabar. Be positive! Bila kita cuba positifkan diri kita dan memaafkan orang lain, insyaAllah hati kita kan tenang :)




"InnAllaha ma'assobirin"

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya"
(riwayat al-Bukhari)

with love,
wawa

chapter 3 : SKEMA (0_0)"


ASSALAMUA’LAIKUM
Hello everybody J ! Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa saya tiba-tiba memilih tajuk ‘SKEMA’ dalam entry saya yang kedua dalam minggu ini. Sebelum saya melalut lebih panjang, baik saya terangkan apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan. Sebenarnya entry ini untuk menjawab persoalan beberapa orang yang mengata saya skema dalam penulisan blog saya. Skema sangat ke penulisan blog saya macam karangan SPM?? (=.=’) Okey, saya akan jelaskan mengapa saya menggunakan bahasa baku dalam penulisan blog saya ini.­­­­ Masa saya mula-mula berjinak-jinak dalam dunia blogger ini, saya menggunakan bahasa yang boleh dikatakan kurang formal. Bak kata orang, bahasa SMS, lebih kurang macam tu lah. Dari sehari ke sehari, saya cuba meminimalkan penggunaan perkataan singkatan dalam dalam penulisan blog saya. Saya cuba mengelakkan untuk mengubah perkatan seperti menambah huruf atau mengurangkan huruf dalam satu-satu perkataan. Tetapi seingat saya, kadangkala saya menggunakan juga bahasa singkatan seperti ‘tu’, ‘ni’, ‘tak’, ‘yg’ dan ‘lah’.

Berbalik kepada persoalan tadi, mengapa saya agak skema dalam penulisan saya? Pertama, pernah dengar tak rangkai kata “bahasa melambang bangsa”? Cuba fikirkan apa maksud rangkai kata tersebut. Bagi saya, kita sebagai bangsa Melayu haruslah menjaga bahasa kita sendiri. Kalau tak, siapa lagi yang nak jaga bahasa Melayu kalau bukan bangsa Melayu sendiri. Kalau kita terus-menerus mencemarkan bahasa Melayu, apa yang akan jadi dengan generasi akan datang? Bertambah rosaklah bahasa kita nanti. Contoh bahasa yang selalu digunakan :

“iyew kew??” “semekom” “itew windu arr kat dyew” “owg xsukew larh” dan bla bla bla.... (tersenget-senget mulut nak sebut =.=)

 Mahukah kita satu hari nanti generasi baru tidak tahu mengeja perkataan Melayu dengan betul dan lebih teruk lagi apabila kelas pemulihan bahasa Melayu terpaksa diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memperbaiki penggunaan bahasa Melayu. Saya rasa macam buat lawak paling unggul abad ini kalau kelas tersebut diwujudkan. Kelakarlah kalau bangsa Melayu sendiri yang kena masuk kelas pemulihan bahasa Melayu. Sedih!! (T_T) Jadi, kita kena letakkan sedikit usaha untuk membaiki penggunaan bahasa Melayu kita dalam penulisan, tidak kiralah sama ada di blog, facebook, twitter ataupun mana-mana laman social yang lain. Bak kata orang putih, “practice makes perfect” (hehehe :p)

Kedua, bagi pendapat saya, penting bagi kita untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kita sebagai bangsa Melayu haruslah berbangga dengan bahasa kita sendiri. Jika bangsa India ada bahasa Tamil, bangsa Cina ada bahasa Mandarin dan Hokkien. Kita sebagai pemilik sebenar tanah melayu (Malaysia) inilah yang patut meraikan bahasa kita dengan menggunakannya dengan betul. Mengikut pandangan kasar saya, bangsa Cina dan India amat bangga dengan bahasa mereka dan menggunakan setiap perkataan mereka dengan betul. Kalau tak silap saya lah sebab saya sendiri pun bukan tahu berbahasa Cina dan Tamil. Tapi itu semua bukan ‘point’ nya sekarang. Dekat sini saya nak ‘highlight’ kan bahawa kitalah penggerak untuk memartabatkan bahasa kita sendiri. Hilang persepsi orang yang mengatakan bangsa melayu ini LAYU. Sebenarnya pada zaman dahulu, bangsa Melayu memiliki empayar yang hebat dan unggul sehingga menjadi terkenal di setiap pelosok dunia seperti zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Maka kita sebagai generasi baru dan akan memimpin tampuk kepimpinan akan datanglah yang kena memartabatkan bangsa Melayu. Salah satu caranya adalah dengan memperbaiki penggunaan bahasa Melayu. SAY NO TO “EWW EWW EWW”  LANGUAGE !! (hahaha :p)



 Oleh itu, maka terjawablah semua persoalan kenapa saya begitu skema dalam penulisan blog saya. Saya rasa dua sebab sudah mencukupi untuk menjawab kenapa SAYA AGAK SKEMA DALAM PENULISAN BLOG SAYA. Kalau masih ada yang tak puas hati, saya hanya boleh cakap :
“ADA AKU KISAH!!!!” (hahaha :p)


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya"
(riwayat al-Bukhari)

*Entry dalam malam yang sejuk sambil mata yang sayup-sayup nak lolap tetapi kugagahkan jua menulis entry ini. Penat sangat sebab kelas hingga petang hari ini. Good night Misr :) zzZZzzZZZzZZZ~

with love,
wawa

chapter 2 : NIKMAT DAN UJIAN


ASSALAMUA’LAIKUM =)
In the name of Allah most gracious and grateful.... Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda. Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah S.W.T kerana saya masih lagi berpeluang untuk menulis sesuatu dalam blog saya ini walaupun agak sibuk pada minggu ini.
Dalam hidup ini, nikmat dan ujian amat sinonim dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah. Kadangkala kita terleka dan alpa dengan nikmat sehingga Allah menurunkan ujian kepada kita sebagai satu peringatan, tetapi masih ada juga antara kita yang masih tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya. Berdasarkan tajuk di atas, saya telah memilih tema NIKMAT ALLAH DI CELAH UJIAN sebagai bingkisan buat entry kali ini. Mungkin ada yang terfikir apa motif sebenar saya memilih tema ini sebagai entry saya. Sebelum saya mengulas tajuk ini dengan lebih lanjut, ingin saya berkongsi satu kisah yang tajuknya juga sama seperti di atas. Hayati kisah ini:

Pada pertengahan1997, Hafizuddeen Mohd Napiah menghidapi sejenis penyakit yang menyerang bahagian otak. Ahli keluarga membawa dia dari sebu kepada ayaah pusat rawatan ke sebuah pusat rawatan yang lain dalam usaha untuk mengesan dan mengubati penyakit yang Allah ujikan kepadanya.
Ketika itu dia bertugas di Pertubuhan Peladang Negeri Perlis dan menetap bersama ibu bapanya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar. Ketika mula menderita sakit, dua minggu lamanya dia mengalami sakit kepala yang kronik. Saban hari dia menahan sakit dari jam sebelas pagi hingga enam petang.
“ Hari-hari sakit kepala pada waktu yang sama, pasal apa?” Soalan dari ketua tempat dia bekerja ini tidak mampu dijawabnya. Dia sendiri pun tidak tahu penyakit apa yang menyerangnya.
Oleh kerana selalu sangat sakit kepala, dia terpaksa kerap ambil cuti. Isterinya, Syahlina yang sedang mengandung kali kedua bimbang melihat keadaannya, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Waktu sakit kepala itu menyeranag, picitan tidak menghilangkan rasa sakitnya.
Kira-kira dua minggu kemudian, Hafizuddeen koma ketika sedang duduk menonton berita di rumah. Waktu dia sedang meriba anak sulungnya yang berusia setahun lebih, apabila kepalanya berasa ringan bagaikan melayang. Selepas sempat menyerahkan anak kecilnya ke tangan ayahnya yang duduk berhampiran, dia memanggi-manggil ibunya, tetpi pandangannya terus gelap dan dia terbaring di lantai ruang tamu.

Malam itu keluarganya mengejarkan Hafizuddeen ke Hospital Kangar dalam keadaan dia koma. Mulutnya mengeluarkan cecair seakan-akan muntah ketika ayah, abang sulung dan adik bongsunya membawanya ke hospital dengan kereta Kancil. Keadaannya sangat kritikal. Dua hari dia koma.
Sedar dari koma, sakit kepalanya bertambah serius.Kerap kali Hafizuddeen akan berguling-guling menahan sakit. Doktor di Hospital Kangar gagal mengesan penyakit Hafizuddeen disebabkan kekurangan peralatan dan kepakaran. Adik-bradik tidak bersikap menunggu, sebaliknya terus berikhtiar membawanya ke sebuah klinik swasta.

Selepas proses imbasan masih gagal mengesan sebarang penyakit, ikhtiar lain pula dicuba. Mereka membawanya ke sebuah klinik pakar di Pulau Pinang. Selepas sekali lagi menjalani proses imbasan, barulah penyakitnya dapat dikesan. Doktor mengesahkan Hafizuddeen menghidap arteriovenous malformation (AVM) iaitu pendarahan otak yang berpunca daripada satu kelainan saluran darah di otak.

Atas nasihat pakar itu, keluarga merujuk kes Hafizuddeen ke Jabatan Neurosurgeri di Hospital Ipoh di mana dia menjalani rawatan dengan prosedur ‘burrhole’. Tetapi rawatan ini tidak memadai untuk menyembuhkan penyakitnya. Pakar perunding dan ketua Jabatan Neuri surgery hospital berkenaan, Dr. Saffari Mohd Shapani menyarankan Hafizuddeen menjalani rawatan radiosurgeri. Jika lambat dia mungkin akan mengalami pendarahan otak dan mendapat sawan.

“Kaedah rawatan ini masih baru tetapi efektif dan berisiko rendah”, beritahu Dr. Saffari. Doktor yang prihatin ini bersedia membantu menguruskan dan mengambil bahagian dalam rawatn itu kelak.
Hafizuddeen hanya pasrah. Pergantungan hatinya Cuma dengan Tuhan di samping mengharapkan doa daripada ibu ayah dan isteri tercinta. Apa yang tidak diketahui ketika itu ialah bagaimana ibu bapanya dan adik-beradiknya bertungkus-lumus mengumpul wang sebanyak RM 22,000. Itulah anggaran kos rawatan radiosurgeri untuknya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Demi melihat Hafizuddeen kembali sihat, adik-beradiknya bersatu hati. Hingga akhirnya Allah izinkan biaya sebanyak itu disediakan. Bagaimanapun pada saat akhir, RM 6000 lagi diperluakan untuk mencukupkan RM 28,000. Sekali kesatuan hati antara adik-beradik Berjaya menyelesaikan masalah apabila seorang menambah sumbangan. Semua ini diluar pengetahuan Hafizuddeen.
Di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Hafizuddeen dipantau sehari suntuk dari Sembilan pagi hingga enam petang. Dr. Saffari sendiri mengambil bahagian penting dalam prosuder rawatan stereotaktik radiosurgeri atau ‘pisau X’ itu. Rawatan ini hanya mengambil masa 30 minit.
Alhamdulillah,Hafizuddeen selamat menjalani rawatn itu. Benih penyakit di otaknya berjaya dibuang. Keadaannya pulih seperti sediakala. Tiada langsung kesan-kesan penyakit seperti sebelumnya. Malah esoknya dia sudah dibenarkan pulang!

Selain daripada melihat kasih sayang Allah di sebalik ujian penderitaan yang dialaminya, peristiwa itu menyedarkan Hafizuddeen pada kasih sayang keluarga dan adik-beradik. Mereka sanggup bersusah-payah untuk melihat dia kembali sihat. Kalau sebelumnya dia kadang-kadang berasa agak tersisih daripada keluarga dan rasa kurang diberi perhatian. Kini dia sedar betapa mereka sangat mengambil berat akan dirinya. Dia berasa lebih dekat dengan keluarga dan sangat berterima kasih dengan pengorbanan mereka.

Selang beberapa selepas dia pulang ke pangkuan keluarga, isterinya selamat melahirkan bayi kembar dua yang comel; seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Masya-Allah....ada nikmat yang besar di celah ujian.

Banyak pengajaran dan nilai moral yang boleh kita dapat daripada kisah di atas. Bagi saya pengajaran yang paling terkesan adalah kita hendaklah redha dengan semua ketentuan Tuhan dalam apa yang terjadi dalam hidup kita sama ada baik ataupun buruk. Hal ini kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang terselit disebaliknya. Dalam konteks nikmat, amat sedikit manusia yang bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah. Memang tidak dinafikan manusia itu mudah lupa, tetapi jangan kekurangan itu dijadikan satu alasan untuk kita terus menjadi alpa. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda :
“Dunia nikmat yang sering manusia lupa; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang” (riwayat Muslim dan Bukhari)

Lihat sahaja keadaan remaja pada hari ini yang dilihat semakin serius. Mereka sengaja menyakitkan diri dan membahayakan kesihatan mereka dengan menyalahgunakan dadah, minum minuman keras, melakukan seks bebas dan yang paling menyedihkan terdapat remaja perempuan yang tegar menggugurkan kandungannya untuk menutup malu. Di mata masayarakat dan keluarga berjaya dikaburi tetapi pada Allah, Tidak malukah mereka? Tepuk dada tanyalah iman. Seterusnya gejala-gejala tersebut turut membawa kepada pembaziran masa dan mensia-siakan waktu lapang.

Dalam konteks ujian pula, Allah sering mendatangkan ujian kepada manusia untuk menguji tahap keimanan seseorang. Terdapat dua bentuk ujian yang sering Allah turunkan kepada manusia, iaitu : kesenangan dan kesusahan. Ujian kesenangan sebenarnya untuk menguji sama ada seseorang manusia itu bersyukur atau kufur. Ujian ini boleh menyesatkan lagi manusia atau mendekatkan lagi manusia kepada penciptanya dengan bersyukur. Contoh ujian kesenangan yang acap kali dilihat adalah kekayaan yang melimpah ruah. Seterusnya, ujian kesusahan merupakan ujian yang Allah turunkan kepada hamba-Nya untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang manusia. Setipa kesulitan dan kesusahan yang terjadi dalam hidup manusia itu berlaku berdasarkan kemampuan manusia itu sendiri. Seperti firman Allah dalam al-Quran :

Mafhumnya : “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (surah al-Baqarah:284)

Dan ketahuilah bahawa setiap apa yang terjadi dalam hidup kita ini semuanya ada hikmah di mana kita sendiri tidak mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung di langit dan bumi. Kadang-kadang perkara yang kita suka itu sendiri membawa kemudaratan kepada diri kita tetapi pekara yang kita benci itulah yang membawa kebaikan kepada kita. Allah juga telah berfirman dalam ayat suci al-Quran :

Mafhumnya : “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (surah al-Baqarah:216)

Jadi, janganlah kita mudah melatah dengan setiap ujian yang mendatang dalam hidup kita. Bersabarlah dan hadapinya dengan tenang dan redha. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang bersabar. Terpulanglah kepada kita untuk menilai di mana baik dan buruk kerana setiap manusia dikurniakan akal dan fikiran. Jangan jadi seperti binatang yang hanya tahu bertindak tanpa berfikir.

Kesimpulannya, nikmat dan ujian merupakan elemen penting yang akan menjadi rencah dalam kehidupan kita. Kita akan menjadi mukmin yang kuat mental dan fizikal jika menggunakan dua elemen ini pada jalan yang betul. Semua sedia maklum bahawa Allah lebih suka mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah kerana mukmin yang kuat diperlukan untuk menegakkan syiar Islam dan menjadi penggerak kepada dakwah islamiyah. Ingatlah bahawa setiap ujian itu pasti terdapat nikmatnya di dalamnya dan setiap nikmat itu merupakan salah satu ujian untuk menguji sama ada kita bersyukur ataupun tidak. Akhir kalam, semua yang yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya dari saya sendiri, hakikatnya kedua-duanya datangnya daripada Allah. Wallahua’lam.

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa berdukacita dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, ia adalah mukmim”
(riwayat Ahmad dan al-Hakim)



*Entry ini sebenarnya saya tulis adalah sebuah artikel untuk saya sumbangkan kepada blog HEWI MTPANSM, tetapi apa salahnya berkongsikan. Sharing is caring =). Peringatan untuk diri ini yang mudah lupa dan juga untuk anda semua.

with love,
wawa

chapter 1 : new life :)

ASSALAMUA'LAIKUM

In the name of Allah the most gracious and grateful.... Alhamdulillah kerana saya masih diberi kesempatan dan peluang untuk terus hidup di dunia pinjaman sementara ini. Seperti biasa kalau ada kelapangan saya akan menulis entry baru di blog saya ni dan hari ini seperti biasa juga saya akan keluar berjalan-jalan sambil melihat suasana kehidupan masyarakat arab dan menghirup udara berdebu di Mesir (haha :p). Walaupun hidup di Mesir di mana kepadatan penduduknya yang terlalu tinggi sedikit pun tidak membuatkan saya berasa ralat untuk keluar pada setiap hari. Bak kata pepatah, JAUH PERJALANAN LUAS PEMANDANGAN :). Sebelum saya terlupa, ingin saya hebahkan bahawa tunjuk perasaan yang berlaku di Mesir ini tidak mendatangkan apa-apa kesan yang berbahaya kepada kami semua pelajar Malaysia. Sepertimana yang terpampang di dada akhbar keadaan rusuhan di Mesir yang begitu membimbang sehinggakan ada yang terkorban setakat ini tidak melibatkan kami pelajar-pelajar Malaysia. Alhamdulillah kami hidup dengan aman dan damai di sini. Doakan kami semua dan keamanan negara Mesir.




(revolusi yang tidak melibatkan kami sama sekali)

Di sini saya bukan mahu untuk menulis tentang keburukan negara Mesir ini tapi saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang saya kecapi setelah sebulan saya bermastautin di sini. Alhamdulillah juga masyarakat arab di sini sangat menghormati rakyat malaysia yang sudah semestinya bersifat lemah lembut dan sopan santun. Mereka jarang berkasar dengan kami. Itulah salah satu kelebihan kami rakyat Malaysia di sini. Antara kelebihan lain yang terdapat di Mesir ini adalah :

MAKANAN & MINUMAN

Haaa.... Ini merupakan satu elemen yang sangat saya gemari sepanjang hidup saya selama 18 tahun ni (hahaha :p). Saya sangat suka makan dan mencuba makanan baru. Banyak makanan baru yang telah saya cuba di sini. Antara yang superb best adalah malabiyah, shawarma, shishtawuk, kebab dan lain-lain lagi. Saya akan bercerita lebih lanjut selepas ini ye. Harganya juga tidak terlalu mahal dan berpatutan. Kalau teringin nak makan makanan segera, terdapat macam-macam pilihan restoran makanan segera kat sini. Bukan hanya terdapat KFC, Pizza Hut, Burger King malahan ada banyak lagi di sini seperti Hardees, Herfi, Pizza King, Pizza Master, Cook Door, Arabiata dan banyak lagi lah. Tapi kalau makan selalu boleh bankrap juga sebab harga makanan segera di sini 2 kali ganda harganya di Malaysia. Satu restoran yang saya rasa sangat sedap kalau ada yang teringin nak makan nasi arab ialah restoran Hadra Maut. Memang nasi arab kat restoran superb sedap sehingga menjilat jari dan harganya juga sangat berpatutan. Selain itu, antara yang tersedap di sini adalah aiskrim. Perisa buah-buahan aiskrim di sini sangat terasa buahnya dan saya fikir kurang bahan perasa ditambah di dalamnya. Memang patut rasalah aiskrim kat sini. Bila dah cerita bab makanan je pastilah rasa nak tercekik kan, Mestilah kena ada minuman (hoho :D) Bercakap pasal minuman di sini, minuman yang paling terkesan bagi saya adalah jus buah-buahan. Kalau anda semua ingin tahu jus buah-buahan di sini sangat asli rasanya, Buah yang segar akan dikisar menjadi jus dan tidak akan ditambah dengan sebarang perasa. Lebih-lebih lagi kalau anda minum jus mangga, memang terasa macam makan buah mangga kalau minum jus mangga tu. Yummy !! Minuman yang popular kat sini juga adalah minuman yogurt. Pergghhhhh!!! memang terbaik dari ladang dan lautan dalam lah minuman yogurt kat sini, Memang pekat dan asli rasanya. Terdapat satu kedai yogurt yang terletak berhampiran dengan rumah saya yang menyediakan minuman yogurt yang sangat sedap. Kalah minuman yogurt Bliss yang terdapat di Malaysia (haha :p). Ini tak cerita lagi tentang roti, kek dan manisan. Terdapat banyak pilihan roti dan manisan yang boleh di dapati di sini. Kalau nak makan kek yang sangat sedap dan lembut, satu kedai kek yang disyorkan adalah bakeri Monginis. Ala-ala kek Secret Recipes gitu :D. Rasa terliur tak baca entry saya kali ni?? Kalau nak rasa meh pakat-pakat semua datang Mesir......hehehe :)

(malabiyah yang sangat sedap...yummy!! *dalam gambar : dari kiri..barli, kastard dan aruz bil laban sukhnah atau nasi dengan susu yang dibakar* Boleh didapati dalam perisa coklat, vanilla, mocha, karamel dan macam-macam lagi, makanan yang berasaskan susu)


(dari kiri : nasi arab, tokmiyah dan syawarma)


(aiskrim buah-buahan, jus buah-buahan dan kek yang memang asli rasanya)

PENGANGKUTAN

Lagi satu keistimewaan yang terdapat di Mesir ini adalah sisitem pengankutannya yang tidak sistematik dan terurus (haha :p) Walaupun nampak kasar ya gurauan itu tapi inilah realiti yang terjadi di sini. Sistem yang kurang sistematik ini sebenarnya mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada kami. Dengan kepadatan rakyat Mesir yang tinggi, pengangkutan awam merupakan pilihan utama untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Apatah lagi kami sebagai pelajar ini sudah tentu akan menggunakan pengangkutan awam sebagai medium pergerakan kami sama ada untuk ke kuliah, pasar dan lain-lain lagi. Antara pengangkutan awam yang terdapat di sini adalah bas, el tramco, train metro, dan teksi. Apa yang menjadi istimewanya sistem pengangkutan awam di Mesir ini adalah tambangnya sangat murah dan berpatutan. Kadar tambang mengikut kenderaan :

bas : 1.50 L.E 0.50 L.E 1.00 L.E (ke mana sahaja tempat yang ingin ditujui tanpa mengira kejauhan)
el tramco : 1.25 L.E 0.50 L.E 0.75 L.E (mengikut jarak tempat)
train metro : 1.00 L.E (mana-mana sahaja stesen tanpa mengira kejauhan)
teksi : megikut meter teksi atau kena pandai tawar-menawar harga dengan pemandu teksi


(el tramco yang sangat laju)


(metro train)

Haaaa.... Sangat murahkan. Tapi pengangkutan awam di sini tidaklah semewah di Malaysia ataupun negara-negara lain. Kadang-kadang terpaksa bersesak-sesak dalam kenderaan sambil menghidu bau badan masyarakat arab (haha T_T) Semua ini memerlukan semangat dan kekuatan untuk menempuh semua cabaran ini. Kalau tak kuat jangan haraplah boleh duduk dan survive kat sini. Kami yang kena menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat arab, bukan masyarakat arab yang kena menyesuaikan diri dengan kami di sini. Di sini juga kawalan dan peraturan lalu lintas tidak dititikberatkan. Walaupun terdapat polis trafik yang mengawal tapi tindakan untuk mengetatkan peraturan tidak dijalankan. Contohnya, penunggang motosikal dan pemboncengnya di sini tidak memakai topi keledar ketika menaiki motosikal. Sesiapa yang memakai topi keledar kelihatan amat pelik di sini ye (haha :D) dan satu motosikal boleh naik berapa saja orang selagi ruang mencukupi. Pemakaian tali pinggang keledar tidak dilakukan, tiada had laju di jalan raya, tiada garisan pembahagi jalan dan banyak lagi lah. Hurmmmm......tu satu kelebihan ke???? Oleh itu, jangan tiru aksi-aksi ini di jalan raya ye. Ingatlah orang tersayang :) Tapi apa yang saya sangat respect dengan pemandu arab di sini adalah mereka merupakan pemandu yang cekap. Mereka pandai mengawal kenderaan dan menyelit ketika berada dalam kesesakan walaupun mereka memandu bas atau tramco.



(jangan tiru aksi-aksi ini)

BUAH-BUAHAN DAN SAYUR-SAYURAN

Satu je perkataan yang saya nak nyatakan untuk point ini iaitu MURAH !!! Buah-buahan dan sayur-sayuran di sini sangat murah dan segar. Terdapat banyak pilihan dan ada juga jenis-jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang tiada di Malaysia tapi boleh didapati dengan murah di sini. Ada juga buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak ada di sini seperti durian,ciku, langsat, rambutan, sawi, kangkung, pegaga, petai dan lain-lain lagi.

KULIAH SAYA =)

Ini merupakan point yang paling penting sekali kerana tujuan utama saya berhijrah ke bumi anbiya' ini adala untuk menuntut ilmu dan mengaut seberapa banyak ilmu yang terdapat di sini. Alhamdulillah kerana saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bidang perubatan di Ain Shams University (ASU) yang terletak di Abbasia, Kaherah. Kuliah perubatan di Mesir ini terdapat 2 bahagian iaitu kelas g2g dan MoU. Kelas g2g adalah kelas yang menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pengantar dan terdapat juga pelajar Malaysia yang belajar di dalam kelas ini. Kelas MoU pula kelas yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan pelajar Malaysia memasuki kelas ini. Tapi ini tidak bermakna kami tidak perlu untuk berbahasa arab. Saya teringat dengan kata-kata Syeikh Asyraf yang acap kali menasihati kami semua ketika menghadiri kelas tafaqquhnya bahawa pelajar-pelajar di Mesir perlu menitikberatkan dan menjaga 3 perkara, iaitu : 1) al-Quran 2) bahasa arab fushah 3) kuliah di universiti. Satu perkara yang anda perlu tahu tentang sistem kuliah di Mesir ini adalah KULIAH TIDAK DIWAJIBKAN KEPADA PELAJAR. Kedatangan tidak akan di ambil oleh pihak universiti tetapi terpulanglah kepada pelajar itu sendiri untuk menghadiri kuliah ataupun tidak. Dalam kuliah saya, perubatan tahun satu di ASU, kelas kami hanya selama 3 jam sehari dan satu jam untuk satu subjek serta praktikal selama 2 jam atau sejam setengah untuk 4 subjek iaitu Anatomy, Physiology, Biochemistry dan Histology serta 2 subjek tambahan iaitu bahasa inggeris dan hak kemanusiaan. Bukan itu sahaja, tugasan assigment atau tesis jarang diberikan kepada pelajar. Paling tidak pun setahun sekali atau tidak ada langsung. Kehidupan pelajar perubatan di sini tidaklah sesibuk pelajar perubatan di institusi yang lain. Tapi kami semua pelajar perlu bijak menggunakan masa yang teluang dengan mengulangkaji pelajaran dan terlibat dalam majlis-majlis ilmu yang lain. Namun bagi sesiapa yang mengimpikan sebuah institusi yang mewah dan lengkap dengan teknologi tinggi, sila lupakan hasrat anda untuk menyambung pelajaran di sini kerana keadaan universiti di sini tidaklah begitu mewah dan selesa. Saya fikir SMKA Pedas lagi cantik dan selesa berbanding kuliah saya di sini. Tapi Alhamdulillah syukur nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya kerana saya diberi peluang untuk belajar di sini. Persediaan mental dan fizikal juga perlu ada untuk menghadapi sistem masyarakat arab yang kadang kala tidak menentu. Kelebihan belajar perubatan di ASU atau medical school yang lain di Mesir, antaranya adalah :

1) Kuliah disampaikan oleh doktor-doktor yang pakar dalam bidang masing-masing sehingga ada yang berpangakat professor.
2) Buku yang digunakan ditulis sendiri oleh para doktor yang mengajar dan tidak memerlukan 'international book'.
3) Kami diajar oleh para doktor dengan secara 'detail' setiap subjek dan bab sehingga kami semua faham. Doktor tidak akan beralih topik sehingga semua pelajar memahaminya.
4) Doktor suka pelajar yang bertanya dan akan meraikan setiap pelajar yang datang untuk bertanya kepadanya tentang pelajaran.


(depan fakulti)



(simbol dan logo Ain Shams University)



(bangunan fakulti perubatan ASU)


(pondok lepak-lepak :p)


(bangunan fakulti perubatan ASU)


(another definition of MEDICINE)


(dewan kuliah saya....hehehe )

Jadi kepada semua pelajar di Mesir khususnya pelajar perubatan, janganlah anda semua mengeluh akan semua kekurangan yang terdapat di sini. Tapi jadikan kekurangan itu satu peluang untuk anda mendapat manfaat yang banyak dan berguna untuk anda di masa hadapan. Jadilah doktor yang membela nasib pesakit-pesakit muslim di Malaysia yang memerlukan kita, bukan sahaja merawat fizikal mereka bahkan rohani mereka, insyaAllah~ Berusahalah dan insyaAllah juga Allah akan pandang usaha kita. PERCAYA PADA REZEKI ALLAH :)

Kepada adik-adik junior khususnya SMKA Pedas, kalau terbuka jalan untuk datang ke sini, marilah beramai-ramai datang ke Mesir. Banyak pengalaman dan ilmu dapat ditimba. Seterusnya, dapat melanjutkan pelajaran anda di sini. GOOD LUCK ADIK-ADIK!!

*Man was designed for accomplisment engineered for success and endowed with the seed of greatness"

by,
Khairun Najwa Ali




Salam Perantauan :)

ASSALAMUA’LAIKUM 

Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga menulis satu entry setelah lebih 2 minggu berada di bumi kinanah ini atau lebih dikenali sebagai bumi anbiya’ iaitu MESIR. InsyaAllah dalam masa seminggu lagi saya akan memulakan kuliah saya di fakulti perubatan, Ain Shams University yg terletak di ‘Abbasiyah. Tanggal 13 September 2011, saya dengan segulung azam dan tekad meninggalkan Malaysia, keluarga dan rakan-rakan untk memulakan misi pencarian ilmu. Setelah menemui pelbagai ujian dan masalah untuk terbang ke Mesir, syukur kepada Allah kerana pada tarikh itu saya dan rakan-rakan PITT dapat meneruskan hajat kami untuk menyambung pelajaran di sini. Lebih kurang kurang pukul 5 waktu Mesir kami selamat mendarat di Cairo International Airport.

( in front of cairo international airport )

( rakan PITT dan pegawai pengiring )

Kedatangan kami telah disambut dengan meriah oleh senior-senior yg mendiami RNSK yg terletak di Hayyu Sabi’. Terima kasih diucapkan kepada semua senior-senior yg telah menyambut kami yang dianggap sebagai adik-adik mereka sendiri. You all the best!! =) Dah kata pelajar baru, sudah tentulah kami kena menjalani minggu orientasi sebelum menjalani kehidupan sebenar di sini. Orientasi yang dijalankan selama seminggu tersebut banyak memberi manfaat dan ilmu yang berguna kepada kami sebagai pelajar baru. Aktiviti yang dijalankan juga sangat best dan menyeronokkan seperti hari riadhi, explorace, jaulah makam dan jaulah sekitar Bandar Kaherah serta tidak ketinggalan juga program-progaram ilmiah. Namun dukacita saya nyatakan bahawa saya tidak dapat menyertai jaulah ke sekitar Kaherah kerana saya diserang demam panas. Tapi tak mengapa kerana sakit itu merupakan satu kifarah dosa buat kita. Jangan buruk sangka dengan setiap ketentuan Illahi dan terimalah dengan redha =)

( orientasi week )

( ilmuan race a.k.a explorace )

( jaulah makan auliya' *kumpulan saya telah ditugaskan untuk mengkaji riwayat hidup Syeikh Ibrahim Zaki*  )

 ( jaulah sekitar Kaherah )


( jaulah sekitar Kaherah )

( hari riadhi ) 


 ( hari riadhi )

Akhir kata, ini permulaan sebuah perjalanan hidup yang sebenar. THE JOURNEY HAD BEGIN........ and let’s make it full of benefits. FIGHTING ! ^__^

Daripada Ibn Umar r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalanan.”
                                                                                                                (riwayat al-Bukhari)


salam perantau,
wawa

THE JOURNEY HAD BEGIN :)

ASSALAMUA'LAIKUM & HELLO !!

THANK TO ALL BECAUSE HE GIVES ME ANOTHER CHANCE TO LIVE IN THIS WORLD, ALHAMDULILLAH :)

SO GUYS.......................


WAIT FOR MY NEXT ENTRY WITH NEW LIFE, NEW STORIES AND NEW EXPERIENCES


till then,
wawa :)