BERSIH


ASSALAMUA'LAIKUM !

BERSIH? Isu ini masih hangat lagi diperkatakan sehingga hari ini. Apa solusi dan apa hasil yang dapat di lihat dari isu bersih ini? Bergaduh? Bertikam lidah? Berebut kuasa? atau kawasan tempat tinggal anda kelihatan lebih bersih? (=.="). Sebagai remaja yang tidak menyertai perhimpunan ini, tak bermakna tidak langsung ambil cakna tentang isu ini. Bukan hanya memejamkan telinga. membuta tuli, buat-buat tak tahu atau hanya memandang enteng. Ini isu ummah ! Kita mesti peduli ummah ! Tapi bagaimana? Blur? Tak tahu nak mulakan dengan apa? Ya ! Mungkin saya ada caranya yang boleh membantu, iaitu dengan mengislahkan diri kita dulu. Cara yang termudah yang boleh dilakukan adalah amanah dengan masa supaya sebuah jati diri yang bersih dari sifat-sifat mazmumah dapat dipasakkan dalam diri insan bergelar, PEMUDA.

Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”(Al-Asr 103:1-3)

    Dunia ! Ya, dunia memang indah. Semuanya indah, tidak terkira oleh jari, tidak terhitung dek akal, tidak tergambar betapa besarnya nikmat kurniaanNya  ini, iaitu DUNIA. Tetapi harus diingatkan bahawa dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Sampai masa dan tibanya waktu, pasti kehidupan dunia ini akan berakhir. Itulah janji Sang Penciptanya. Walaupun dunia ini hanya tempat persinggahan sebelum ke alam yang kekal, Penciptanya mengurniakan pelbagai nikmat dan kemudahan untuk hambaNya. Terpulang kepada setiap individu itu bagaimana untuk menggunakan setiap nikmat dan kemudahan ke jalan kebenaran atau kekufuran.

     Jika dilihat konteks kehidupan hari ini, manusia semakin alpa, semakin lupa, semakin lalai dan paling menyedihkan semakin jauh dari pegangan hidup  yang sebenar. Apa puncanya? Apa sebabnya? Hanya satu faktor yang paling mudah untuk dinyatakan di sini, iaitu LEKA DENGAN NIKMAT DUNIA . Zina, maksiat, fitnah, penindasan, kezaliman, penipuan dan penyelewengan banyak berlaku dalam kehidupan di dunia ini, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, tidak berhenti dan terus subur dibajai oleh noda syaitan. Zaman kian berubah, teknologi makin canggih, pembangunan semakin pesat, nikmat yang melimpah ruah menyebabkan segelintir umat manusia tenggelam dek kealpaan. Bukan itu sahaja,mereka lupa tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah, malah lebih senang menjadi hamba dunia.

     Tidak perlu lihat yang jauh-jauh, lihat sahaja contoh kehidupan disekeliling kita ini. Berapa ramai yang menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau-surau? Berapa ramai yang suka menghadiri usrah atau  majlis-majlis ilmu? Berapa ramai yang rajin menghadiri kelas talaqqi dan tafaqquh? Tetapi banyak masa diluangkan dengan Facebook, Youtube, Twitter, Yahoo Messager, PES, drama korea, dan movie terbaru. Paling menyedihkan, ada juga yang tidak mahu ambil cakna dengan isu yang melanda umat Islam kini. Istilah “kubur lain-lain” menjadi prinsip yang merajai jiwa, yang hanya memikirkan kesenangan diri sendiri. Sedih !

     Allah mengurniakan 24 jam sehari semalam untuk kita gunakan sebaiknya dia atas muka bumi ini serta mengabdikan diri kepadaNya. Tidak pernah berkurang dan tidak pernah berlebih keadaan waktu itu. Jika terus dihitung dan dikira, mana pernah cukup waktu itu, tetapi ingatlah kurniaan dan kejadian yang diatur Allah itu ada hikmah yang terkandung. Kitaran hidup kita, kita sendiri yang tentukan. 24 jam yang dikurniakan adalah hak kita untuk digunakan sepenuhnya dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah. Siang dan malam dicipta untuk kita bekerja dan berehat padanya. Manfaat masa yang lebih jelas perlu dititikberatkan supaya masa yang beredar ditempuh dengan penuh keberkatan dan mencapai redha Illahi. Bersyukurlah dengan apa yang kita perolehi sekarang kerana amat sedikit sekali antara kita bersyukur dengan segala nikmat yang dikecapi.

     Jangan nak salahkan sesiapa, jika suatu hari nanti Allah menarik kembali semua nikmat yang dikurniakan. Allah itu berhak ke atas semua perkara yang terjadi dilangit dan di bumi. Banyak contoh yang kita boleh ambil, bagaimana Allah menurunkan azab dan bala kepada kaum-kaum terdahulu kerana kufur akan nikmat. Lihat sahaja dunia hari ini, banyak bencana dan ujian yang Allah turunkan seperti penyakit, bencana alam, dan banyak lagi. Semua itu adalah peringatan kepada semua umat manusia supaya sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan. Namun, masih ada yang terus terleka dan masih lagi bergelumang  dengan tipu helah dunia. Mahu tunggu hari tua? Mahu tunggu sangat kematian? Mahu tunggu dajjal laknatullah keluar dari perut bumi? Mahu tunggu matahari terbit dari sebelah barat? Mahu tunggu semua itu berlaku, baru hendak bertaubat? Jika ya, anda silap! Jika dikurniakan sedetik lebih pun, belum tentu cukup untuk menutup segala dosa yang telah dilakukan.

 “Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.” (Al-Qasas 28:84)

     Bangkitlah wahai anak muda ! Bangkitlah ! Bangunlah dari lenamu yang panjang. Bangkitlah dari semua bayangan dunia yang menyelubungi hidup anda. Saudara-saudara kita di Palestin dan Syria mengerah keringat demi mempertahankan akidah dan tanah air mereka. Tetapi masih ada antara kita yang masih berada di zon selesa dengan mengambil sifat lepas tangan sahaja.Bayangkan jika semua itu terjadi di tanah air kita sendiri. Adakah anda masih duduk berteleku sambil memandang sahaja?  Belum terlambat lagi untuk berubah, maka mari melakukan tranformasi ke arah yang lebih baik. Kita sama sekali tidak akan dikurniakan  dengan sedetik lebih itu kerana percaturan Allah itu tetap dan Dia sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Manfaatkan masa-masa hidup anda dengan menyumbang kepada Islam. Insya-Allah, setiap  yang dicurahkan untuk Islam itu akan dinilai oleh Allah, sekaligus akan menjadi saham kita di akhirat kelak. Tidak rugi !


*Artikel ini ditulis untuk Risalah Islah Unit Pendidikan MTPANSM, tetapi apa salahnya berkongsikan?? So, wake up youngsters ! "TEGAKKAN ISLAM DALAM DIRI KAMU, NESCAYA ISLAM AKAN TERTEGAK DI NEGARA KAMU" (Hassan Hudhoibi).

love Islam,
wawa