chapter 2 : NIKMAT DAN UJIAN


ASSALAMUA’LAIKUM =)
In the name of Allah most gracious and grateful.... Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda. Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah S.W.T kerana saya masih lagi berpeluang untuk menulis sesuatu dalam blog saya ini walaupun agak sibuk pada minggu ini.
Dalam hidup ini, nikmat dan ujian amat sinonim dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah. Kadangkala kita terleka dan alpa dengan nikmat sehingga Allah menurunkan ujian kepada kita sebagai satu peringatan, tetapi masih ada juga antara kita yang masih tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya. Berdasarkan tajuk di atas, saya telah memilih tema NIKMAT ALLAH DI CELAH UJIAN sebagai bingkisan buat entry kali ini. Mungkin ada yang terfikir apa motif sebenar saya memilih tema ini sebagai entry saya. Sebelum saya mengulas tajuk ini dengan lebih lanjut, ingin saya berkongsi satu kisah yang tajuknya juga sama seperti di atas. Hayati kisah ini:

Pada pertengahan1997, Hafizuddeen Mohd Napiah menghidapi sejenis penyakit yang menyerang bahagian otak. Ahli keluarga membawa dia dari sebu kepada ayaah pusat rawatan ke sebuah pusat rawatan yang lain dalam usaha untuk mengesan dan mengubati penyakit yang Allah ujikan kepadanya.
Ketika itu dia bertugas di Pertubuhan Peladang Negeri Perlis dan menetap bersama ibu bapanya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar. Ketika mula menderita sakit, dua minggu lamanya dia mengalami sakit kepala yang kronik. Saban hari dia menahan sakit dari jam sebelas pagi hingga enam petang.
“ Hari-hari sakit kepala pada waktu yang sama, pasal apa?” Soalan dari ketua tempat dia bekerja ini tidak mampu dijawabnya. Dia sendiri pun tidak tahu penyakit apa yang menyerangnya.
Oleh kerana selalu sangat sakit kepala, dia terpaksa kerap ambil cuti. Isterinya, Syahlina yang sedang mengandung kali kedua bimbang melihat keadaannya, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Waktu sakit kepala itu menyeranag, picitan tidak menghilangkan rasa sakitnya.
Kira-kira dua minggu kemudian, Hafizuddeen koma ketika sedang duduk menonton berita di rumah. Waktu dia sedang meriba anak sulungnya yang berusia setahun lebih, apabila kepalanya berasa ringan bagaikan melayang. Selepas sempat menyerahkan anak kecilnya ke tangan ayahnya yang duduk berhampiran, dia memanggi-manggil ibunya, tetpi pandangannya terus gelap dan dia terbaring di lantai ruang tamu.

Malam itu keluarganya mengejarkan Hafizuddeen ke Hospital Kangar dalam keadaan dia koma. Mulutnya mengeluarkan cecair seakan-akan muntah ketika ayah, abang sulung dan adik bongsunya membawanya ke hospital dengan kereta Kancil. Keadaannya sangat kritikal. Dua hari dia koma.
Sedar dari koma, sakit kepalanya bertambah serius.Kerap kali Hafizuddeen akan berguling-guling menahan sakit. Doktor di Hospital Kangar gagal mengesan penyakit Hafizuddeen disebabkan kekurangan peralatan dan kepakaran. Adik-bradik tidak bersikap menunggu, sebaliknya terus berikhtiar membawanya ke sebuah klinik swasta.

Selepas proses imbasan masih gagal mengesan sebarang penyakit, ikhtiar lain pula dicuba. Mereka membawanya ke sebuah klinik pakar di Pulau Pinang. Selepas sekali lagi menjalani proses imbasan, barulah penyakitnya dapat dikesan. Doktor mengesahkan Hafizuddeen menghidap arteriovenous malformation (AVM) iaitu pendarahan otak yang berpunca daripada satu kelainan saluran darah di otak.

Atas nasihat pakar itu, keluarga merujuk kes Hafizuddeen ke Jabatan Neurosurgeri di Hospital Ipoh di mana dia menjalani rawatan dengan prosedur ‘burrhole’. Tetapi rawatan ini tidak memadai untuk menyembuhkan penyakitnya. Pakar perunding dan ketua Jabatan Neuri surgery hospital berkenaan, Dr. Saffari Mohd Shapani menyarankan Hafizuddeen menjalani rawatan radiosurgeri. Jika lambat dia mungkin akan mengalami pendarahan otak dan mendapat sawan.

“Kaedah rawatan ini masih baru tetapi efektif dan berisiko rendah”, beritahu Dr. Saffari. Doktor yang prihatin ini bersedia membantu menguruskan dan mengambil bahagian dalam rawatn itu kelak.
Hafizuddeen hanya pasrah. Pergantungan hatinya Cuma dengan Tuhan di samping mengharapkan doa daripada ibu ayah dan isteri tercinta. Apa yang tidak diketahui ketika itu ialah bagaimana ibu bapanya dan adik-beradiknya bertungkus-lumus mengumpul wang sebanyak RM 22,000. Itulah anggaran kos rawatan radiosurgeri untuknya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Demi melihat Hafizuddeen kembali sihat, adik-beradiknya bersatu hati. Hingga akhirnya Allah izinkan biaya sebanyak itu disediakan. Bagaimanapun pada saat akhir, RM 6000 lagi diperluakan untuk mencukupkan RM 28,000. Sekali kesatuan hati antara adik-beradik Berjaya menyelesaikan masalah apabila seorang menambah sumbangan. Semua ini diluar pengetahuan Hafizuddeen.
Di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Hafizuddeen dipantau sehari suntuk dari Sembilan pagi hingga enam petang. Dr. Saffari sendiri mengambil bahagian penting dalam prosuder rawatan stereotaktik radiosurgeri atau ‘pisau X’ itu. Rawatan ini hanya mengambil masa 30 minit.
Alhamdulillah,Hafizuddeen selamat menjalani rawatn itu. Benih penyakit di otaknya berjaya dibuang. Keadaannya pulih seperti sediakala. Tiada langsung kesan-kesan penyakit seperti sebelumnya. Malah esoknya dia sudah dibenarkan pulang!

Selain daripada melihat kasih sayang Allah di sebalik ujian penderitaan yang dialaminya, peristiwa itu menyedarkan Hafizuddeen pada kasih sayang keluarga dan adik-beradik. Mereka sanggup bersusah-payah untuk melihat dia kembali sihat. Kalau sebelumnya dia kadang-kadang berasa agak tersisih daripada keluarga dan rasa kurang diberi perhatian. Kini dia sedar betapa mereka sangat mengambil berat akan dirinya. Dia berasa lebih dekat dengan keluarga dan sangat berterima kasih dengan pengorbanan mereka.

Selang beberapa selepas dia pulang ke pangkuan keluarga, isterinya selamat melahirkan bayi kembar dua yang comel; seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Masya-Allah....ada nikmat yang besar di celah ujian.

Banyak pengajaran dan nilai moral yang boleh kita dapat daripada kisah di atas. Bagi saya pengajaran yang paling terkesan adalah kita hendaklah redha dengan semua ketentuan Tuhan dalam apa yang terjadi dalam hidup kita sama ada baik ataupun buruk. Hal ini kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang terselit disebaliknya. Dalam konteks nikmat, amat sedikit manusia yang bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah. Memang tidak dinafikan manusia itu mudah lupa, tetapi jangan kekurangan itu dijadikan satu alasan untuk kita terus menjadi alpa. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda :
“Dunia nikmat yang sering manusia lupa; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang” (riwayat Muslim dan Bukhari)

Lihat sahaja keadaan remaja pada hari ini yang dilihat semakin serius. Mereka sengaja menyakitkan diri dan membahayakan kesihatan mereka dengan menyalahgunakan dadah, minum minuman keras, melakukan seks bebas dan yang paling menyedihkan terdapat remaja perempuan yang tegar menggugurkan kandungannya untuk menutup malu. Di mata masayarakat dan keluarga berjaya dikaburi tetapi pada Allah, Tidak malukah mereka? Tepuk dada tanyalah iman. Seterusnya gejala-gejala tersebut turut membawa kepada pembaziran masa dan mensia-siakan waktu lapang.

Dalam konteks ujian pula, Allah sering mendatangkan ujian kepada manusia untuk menguji tahap keimanan seseorang. Terdapat dua bentuk ujian yang sering Allah turunkan kepada manusia, iaitu : kesenangan dan kesusahan. Ujian kesenangan sebenarnya untuk menguji sama ada seseorang manusia itu bersyukur atau kufur. Ujian ini boleh menyesatkan lagi manusia atau mendekatkan lagi manusia kepada penciptanya dengan bersyukur. Contoh ujian kesenangan yang acap kali dilihat adalah kekayaan yang melimpah ruah. Seterusnya, ujian kesusahan merupakan ujian yang Allah turunkan kepada hamba-Nya untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang manusia. Setipa kesulitan dan kesusahan yang terjadi dalam hidup manusia itu berlaku berdasarkan kemampuan manusia itu sendiri. Seperti firman Allah dalam al-Quran :

Mafhumnya : “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (surah al-Baqarah:284)

Dan ketahuilah bahawa setiap apa yang terjadi dalam hidup kita ini semuanya ada hikmah di mana kita sendiri tidak mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung di langit dan bumi. Kadang-kadang perkara yang kita suka itu sendiri membawa kemudaratan kepada diri kita tetapi pekara yang kita benci itulah yang membawa kebaikan kepada kita. Allah juga telah berfirman dalam ayat suci al-Quran :

Mafhumnya : “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (surah al-Baqarah:216)

Jadi, janganlah kita mudah melatah dengan setiap ujian yang mendatang dalam hidup kita. Bersabarlah dan hadapinya dengan tenang dan redha. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang bersabar. Terpulanglah kepada kita untuk menilai di mana baik dan buruk kerana setiap manusia dikurniakan akal dan fikiran. Jangan jadi seperti binatang yang hanya tahu bertindak tanpa berfikir.

Kesimpulannya, nikmat dan ujian merupakan elemen penting yang akan menjadi rencah dalam kehidupan kita. Kita akan menjadi mukmin yang kuat mental dan fizikal jika menggunakan dua elemen ini pada jalan yang betul. Semua sedia maklum bahawa Allah lebih suka mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah kerana mukmin yang kuat diperlukan untuk menegakkan syiar Islam dan menjadi penggerak kepada dakwah islamiyah. Ingatlah bahawa setiap ujian itu pasti terdapat nikmatnya di dalamnya dan setiap nikmat itu merupakan salah satu ujian untuk menguji sama ada kita bersyukur ataupun tidak. Akhir kalam, semua yang yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya dari saya sendiri, hakikatnya kedua-duanya datangnya daripada Allah. Wallahua’lam.

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa berdukacita dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, ia adalah mukmim”
(riwayat Ahmad dan al-Hakim)



*Entry ini sebenarnya saya tulis adalah sebuah artikel untuk saya sumbangkan kepada blog HEWI MTPANSM, tetapi apa salahnya berkongsikan. Sharing is caring =). Peringatan untuk diri ini yang mudah lupa dan juga untuk anda semua.

with love,
wawa

No comments:

Post a Comment